Selepas mempamerkan prestasi yang baik di awal musim, namun kini Kedah dilihat semakin terumbang-ambing.
Skuad Helang Merah yang dibimbing David Mitchell, kini sekadar menghuni kedudukan keenam Liga Perdana dan ketinggalan 10 mata dibelakangi pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Situasi ini jelas mengundang kebimbangan dan rasa tidak puas hati peminat mereka.
Dalam laporan media, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah meluahkan kerisauannya mengenai prestasi semasa dan bimbang ia boleh memusnahkan harapan mereka untuk kembali bersaing pada Liga Super.
Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menerima tajaan berjumlah lebih RM15 juta dari kerajaan negeri dan badan korporat itu harus bertindak pantas termasuk melakukan rombakan besar-besaran dalam skuad Hijau Kuning.
Dia mempertikaikan pemilihan pemain yang dilakukan Kedah dan mengesyorkan skuad itu merombak bukan sahaja awang import, malah pemain tempatan juga.
Baginya, pelaburan RM15 juta bukan satu jumlah yang kecil untuk melihat pasukan jauh tertinggal dengan pasukan atasan.
Selain itu, Nor Hasmadi mengharapkan jurulatih juga wajar diberi amaran keras berikutan persembahan longlai.