Adakah beliau akan bertanggungjawab untuk kedudukan bahaya kelab itu di Liga Perdana Inggeris musim ini?
Pada musim lepas, Tan telah mengambil keputusan drastik dengan menukar warna jersey utama kepada merah dari warna biru sekaligus mengakhiri tradisi yang berusia 104 tahun.
Walaupun tidak berpuas hati dengan perubahan itu, peminat setia terpaksa menerima keputusan Tan kerana kelab dari Wales ini telah menjuarai Kejohanan Liga Inggeris musim 2012/13 dan telah meraih kenaikan ke Liga Perdana musim ini.
Namun begitu, dengan baki tujuh perlawanan dalam BPL, Cardiff City berada di tangga kedua tercorot dan mungkin akan dilucutkan semula ke Kejohanan Liga Inggeris.
Dengan jelas sekali, kejatuhan Cardiff City bermula dengan pemecatan ketua peninjau pemain Iain Moody yang digantikan pula dengan anak kepada rakannya, Alisher Apsalyamov.
Apsalyamov yang berusia 23 tahun tidak mempunyai sebarang jenis pengalaman dalam bola sepak.
Kesilapan yang hampir sama diulangi sekali lagi dan kali ini, pengurus kelab Malky Mackay yang berjaya meraih promosi musim lepas, menjadi mangsa apabila beliau digantikan dengan bekas bintang Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer pada pertengahan musim.
Solskjaer pernah memenangi Liga Perdana dan juga Liga Juara-Juara dibawah bimbingan Sir Alex Ferguson tetapi tidak ada pengalaman sebagai pengurus di BPL dan kemasukkan Solskjaer juga belum menampakkan hasil yang dinanti-natikan oleh peminat, mahupun Tan sendiri.
Jadi, adakah segala usaha yang disumbangkan oleh Vincent Tan tidak akan membuahkan hasil atas kesilapan yang dilakukannya sendiri? Ataupun, adakah Tan hanya memiliki kelab Liga Perdana sebagai status kekayaan dan bukannya kerana minat dan pengetahuan tentang bola sepak?
Jawapannya hanya boleh diketahui pada akhir musim, untuk melihat sama ada Cardiff akan kekal di BPL atau tidak. Walau apapun keputusan pada akhir musim, Vincent Tan perlu lebih arif dan bersemangat dalam bola sepak, terutamanya untuk kelab yang telah mengharumkan namanya di mata dunia, Cardiff City.