HIDUP berseorangan ditinggalkan isteri dan anak-anak selama lebih sebulan lalu adalah waktu paling menyeksakan buat komposer dan penulis lirik, Adnan Dollah atau Nan Dengkil, 44.
Bahkan sejak isterinya meninggalkannya dan membawa bersama anak-anak pulang ke kampung di Jempol, Negeri Sembilan pada 4 Februari lalu kata Nan, dia kehilangan arah hidup.
Meletakkan seluruh kesilapan yang berlaku kepada rumah tangga di bahunya kata Nan, sebagai ketua keluarga pasti perlu bijak mengangani masalah dan berfikiran matang.
Namun sebagai manusia biasa kadangkala dia kecundang apabila berdepan dengan soal cemburu melihat kemesraan sang isteri dengan lelaki lain.
Mengakui tidak dapat menerima kenyataan apabila wanita yang dikahwini sejak 10 tahun lalu itu berubah sikap kata Nan, dia juga terkilan dengan penjelasan hanya kawan yang dibuat tentang gambar mesra tersebut.
Membenarkan isterinya bekerja sebagai pemandu teksi kata Nan, dia tidak menyangka kebebasan yang diberikan itu akhirnya memakan dirinya sendiri.
Sepanjang tempoh saya ditinggalkan, saya banyak berfikir dan tidak mahu memperbesar-besarkan perkara itu. Jadi saya anggap itu sebagai fitnah yang dibuat untuk memporak-perandakan hubungan kami.
Lagipun itu kali pertama dia buat perangai dan sudah semestinya saya memaafkan dia. Sekarang ini pun sedang memujuk tapi tak sangka dia pula minta perpisahan," katanya kesal.
Tidak mahu bercerai
Mengulas tentang keinginan isterinya kata Nan, perkara itu amat berat untuk diterima biarpun perasaannya remuk selepas menerima surat permohonan perceraian daripada Mahkamah Syariah Jempol.
Lebih memikirkan masa depan tiga orang anaknya iaitu Nuraida Fathiha, 10, Nurizan Aizan, 9, dan Nur Haikal, 7, tegas Nan, dia mahu menyelesaikan perkara itu secara baik.
Saya tidak berniat untuk memburukkan lagi keadaan. Saya tidak akan berhenti memujuk isteri dan ingin kembali membina kehidupan baharu bersama anak-anak.
Kalau isteri marah sebab mendedahkan cerita dalaman perkahwinan kami kepada masyarakat, lambat laun orang tahu juga," katanya yang turut mencipta lagu Kini Untuk Selamanya (Buatmu Isteri).
Dek kerana terlalu merindui anak-anak kata Nan, dia mengakui bersalah kerana menculik Nur Haikal sewaktu melawat isterinya di Jempol. Pun begitu dia mendakwa tindakannya kerana kesunyian.
Kata Nan, anak bongsunya itu juga adalah penyambung nafas untuk dia meneruskan hidup. Tanpa Nur Haikal dia lebih tertekan dan berterusan diselubungi penyesalan.
Saya bernazar kalau masalah rumah tangga saya ini selesai dan lagu Brother Teksi dapat berkumandang, saya akan raikan dengan menunggang basikal dari Gombak, Selangor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Tolak tepi soal penat dan jauh, saya tahu apa yang saya buat ini adalah keikhlasan saya menebus kesilapan lalu," katanya penuh makna.