KARACHI – Seorang ulama kanan di Pakistan hari ini mengeluarkan fatwa yang membenarkan umat Islam di negara ini untuk berbuka puasa ekoran fenomena gelombang panas melampau yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.
Mufti Mohammad Naeem yang juga pemimpin tertinggi di sebuah madrasah terbesar di sini berkata, cuaca panas mencecah 45 darjah Celsius sehingga boleh mengancam nyawa, membolehkan penganut Islam berbuka puasa terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Jika doktor menyatakan nyawa anda dalam bahaya ekoran cuaca panas atau keadaan anda akan menjadi lebih teruk kerana berpuasa, maka anda dibenarkan berbuka.
“Keadaan ini bergantung kepada keadaan kesihatan seseorang dan bagaimana tubuh anda memberi reaksi kepada panas. Fatwa ini tidak terbuka kepada semua,” kata Naeem kepada NBC News dalam satu laporan kelmarin yang turut disokong beberapa ulama lain di Pakistan.
Kewajipan berpuasa hanya kepada umat Islam yang sihat tubuh badan, namun pengecualian diberikan kepada mereka yang sakit, tua, mengandung atau bermusafir.
Naeem turut menolak pandangan bahawa fatwanya itu akan mengundang kontroversi.
Selain Karachi terdapat 50 kawasan turut terjejas dengan gelombang haba yang melanda.
Seorang pegawai di Hospital Jinnah melaporkan, lebih 40,000 orang mengalami strok haba dan lebih 8,000 kini dirawat di hospital tersebut.