Penyanyi Akim Ahmad menegaskan tidak timbul istilah tarik tali rentetan kenyataan kekasihnya Stacy, semalam. Stacy membuat kenyataan sebarang persoalan berhubung percintaan mereka seharusnya dirujuk kepada Akim sendiri.
"Saya tahu kenyataan yang dibuat oleh Stacy semalam kerana beliau telah bercerita kepada saya mengenai hal itu. Saya juga memahami situasinya kerana saya tahu impak kenyataan yang dibuat oleh saya. Tidak wujud istilah tarik tali dalam perkara ini kerana kami tahu perasaan masing-masing.
"Tidak dinafikan ada sesetengah tajuk artikel yang boleh mengelirukan pembaca, namun bacalah isi kandungannya sebelum membuat penilaian," katanya kepada BH Online. Tegas Akim, beliau kecewa kerana isu itu diperbesarkan sedangkan hakikatnya, beliau sekadar ingin berkongsi dengan peminat mengenai hubungannya dengan Stacy.
"Dulu bila bercinta dan tidak mengeluarkan kenyataan, orang suruh mengaku. Tetapi, apabila sudah mengaku ia diperbesarkan pula. Saya dan Stacy masing-masing ingin memperjuangkan kerjaya seni kami. Jadi, kami menyerahkan segala-galanya kepada jodoh," katanya mengakhiri perbualan.