Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak berkuasa, penganjur, penerbit dan pihak yang terlibat dalam aktiviti dan industri hiburan.
Berikut adalah antara perkara penting yang tersenarai dalam panduan JAKIM yang dikeluarkan awal minggu ini selepas diluluskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-107 pada Februari.
1. Artis perlu mempunyai peribadi yang mulia dan tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil.
2. Penampilan yang sopan dan beradab. Artis harus berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaianyang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
3. Mereka tidak harus mendandan rambut yang menyerupai jantina yang berlainan atau berlakon menyerupai jantina lain.
4. Artis juga perlu memastikan lawak jenaka mereka berpada-pada dan tidak melampaui batas iaitu sehingga membawa kepada ketawa yang melampau.
5. Bukan itu sahaja, ucapan dan gerak laku tidak harus mengandungi kata-kata kesat, lucah atau fitnah.
6. Mereka harus mengelakkan unsur pemujaan atau penyembahan secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu makhluk atau peribadi lain.
7. Persembahan tarian pula tidak boleh mengandungi unsur lucah atau membangkitkan nafsu.
8. Lelaki dan perempuan tidak harus melibatkan diri dalam pergaulan bebas semasa mengadakan latihan atau raptai.
9. Lirik lagu harus mengandungi nilai – nilai murni dan selari dengan adab kesopanan serta tidak membangkitkan emosi negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam.
10. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan dalam satu persembahan yang boleh menimbulkan fitnah.