Aktres, Katie Redford digugurkan daripada barisan artis untuk penggambaran drama bersiri, Coronation Street, baru-baru ini kerana menipu tentang usianya.
Menurut rangkaian berita, ITV News, Redford mendakwa usianya baru 14 tahun semata-mata mahu membawa watak sebagai Bethany Platt, iaitu cucu kepada Gail McIntyre dalam drama bersiri itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu menyatakan aktres itu sebenarnya berusia 19 tahun.
Bagaimanapun, peminat menemui bukti bahawa aktres itu sebenarnya berusia 25 tahun.
Jurucakap aktres itu kemudian mengesahkan Redford pernah menjalani uji bakat sebagai remaja berusia 19 tahun.
Minggu lalu, penerbit drama bersiri itu menyedari kesilapan itu dan mengumumkan untuk membuat penyusunan semula watak Bethany Platt yang diserahkan kepada Redford.
Difahamkan, penerbit mempunyai nama aktres lain yang sesuai untuk membawa watak tersebut dan tidak akan mengadakan uji bakat yang baharu.