"Saya akan nampak bodoh jika kata sasaran lapan pingat emas masih boleh dicapai ketika temasya hanya tinggal empat hari untuk ditamatkan. Sudah tentu ia sukar.
"Tetapi sebagai CDM (Ketua Kontinjen Negara) saya tak boleh kibar bendera putih sekarang kerana ada atlet kita yang masih bertanding. Saya harus punya kepercayaan kepada mereka."
Itu kata Datuk Danyal Balagobal Abdullah (gambar) ketika ditanya apakah beliau sudah mengibarkan bendera putih bahawa Malaysia tidak mungkin pulang bersama lapan emas yang disasarkan.
Berdasarkan kedudukan rasmi pingat setakat hari ini, Malaysia sudah mengutip empat emas, 14 perak dan 10 gangsa. Ia termasuk emas milik Tai Cheau Xuen yang masih tergantung.
Semalam, kontinjen negara mengharungi hari tanpa pingat di Incheon, sekali gus menguatkan kebimbangan bahawa kegagalan Sukan Komanwel di Glasgow, Ogos lalu kini menghantui Sukan Asia XVII.
Kegagalan memenangi acara pelayaran Match Racing, semalam secara realistiknya menutup peluang memburu sasaran. Hari ini ada dua emas ditawarkan dalam boling iaitu Masters Lelaki dan Wanita.
Dalam sejarah Sukan Asia, hanya sekali Malaysia pernah memenangi pingat emas Masters iaitu menerusi Shalin Zulkifli yang dilakukan 20 tahun lalu di Hiroshima, Jepun.
Karate yang memulakan kempen hari ini akan menggalas tugas berat. Namun, sekiranya Malaysia mengharapkan sukan ini menjadi penyelamat maruah di Incheon, bermakna mereka perlu mencipta keputusan yang benar-benar luar biasa seperti meraih lima emas.
Dua pingat emas adalah pencapaian terbaik mereka dalam Sukan Asia. Ia dilakukan pada temasya di Bangkok 1998, Busan 2002 dan Guangzhou 2010. Bermakna, karate perlu memecah rekod sendiri jika mahu bergelar hero.
Danyal masih berharap boling mampu melakukan sesuatu hari ini. Namun menang dua emas terakhir? Ia misi mustahil, apatah lagi pemain lelaki negara, Zulmazran Zulkifli dan dan Adrian Ang gagal beraksi baik dalam blok pertama Masters lelaki semalam dengan sekadar menghuni tangga ke-12 dan 16.
Saingan lebih baik dalam Masters wanita apabila Sin Li Jane berada pada kedudukan ketiga dan Shalin di tangga keenam. Hanya tiga pemain teratas selepas tamat blok kedua hari ini layak ke peringkat step-ladder, seterusnya mencabar emas.
"Karate akan bermula esok (hari ini). Kita cuma sasar satu emas tetapi empat tahun lalu (di Guangzhou) mereka pulang bersama dua emas, jadi tiada yang mustahil.
"Walaupun menampilkan ramai atlet muda, namun skuad karate menghantar pasukan yang sangat kuat kali ini," ujar Danyal lagi.
Lim Chee Wei menjadi tumpuan Malaysia untuk memburu emas karate kata lelaki, manakala Syakilla Saini merupakan pilihan utama dalam kategori bawah 61 kilogram wanita.
Atlet lain yang ditampilkan Malaysia adalah Nisha Algasan (bawah 55kg wanita), Shree Sharmini Segaran (bawah 68kg wanita), Nur Eleena Anis (bawah 50kg wanita), J. Sharma (bawah 75kg lelaki), S. Senthil Kumaran (bawah 60kg lelaki) dan R. Sharmendran (bawah 67kg lelaki).