Pakatan pembangkang yang tidak berpakat kini semakin jelas perpecahan mereka sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
PAS ternyata berseorangan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRK yang hari pembuangan undinya Khamis depan.
Tidak ada langsung jentera parti sekutu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Jika pun PKR mahu menunjukkan ia memberikan sokongan, yang ada hanyalah bilik gerakan utama parti itu di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor tanpa ada sesiapa melainkan yang memenuhkannya jentera PAS.
Semua maklum yang PKR tidak ada jentera peringkat akar umbi. Yang memenangkan calon mereka selama ini adalah hasil keringat ahli-ahli PAS.
PRK Pengkalan Kubor ini, PKR terpaksa menyeru ahli-ahlinya membantu PAS. Persoalannya seruan kepada ahli yang ada seakan-akan tiada.
Apa yang dihebohkan di Pengkalan Kubor ialah parti itu mahu menaikkan bendera dan lambang mereka sedangkan PKR tidak bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah berkali-kali mengingatkan supaya parti itu menurunkan semua lambang mereka, tetapi masih berdegil.
Tidak tahu apa yang mereka mahu sedangkan peraturan pilihan raya jelas tidak membenarkan bendera atau lambang parti yang tiada kena mengena dengan pilihan raya dipamerkan.
Itu yang ‘dibisingkan’ PKR. Bukan mahu membantu PAS yang sibuk dan ‘panas’ dengan Muktamar Tahunan mereka di Johor, sebaliknya PKR kecoh untuk ‘menyibuk’ dan menyusahkan PAS.
Sejak bermulanya muktamar kelmarin, kempen PAS amat perlahan. Betul, mereka mungkin akan ‘menyerang’ habis-habisan Pengkalan Kubor sebaik selesai muktamar, tetapi berlaku vakum sekarang memberi ruang seluas-luasnya kepada BN masuk ke kawasan yang dikenal pasti sebagai kubu kuat parti pembangkang itu.
Menurut Timbalan Pengarah Jentera BN PRK DUN itu Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, walaupun demikian jentera parti tidak akan bersikap sambil lewa.
Sebaliknya, kata beliau, jentera BN akan bekerja lebih kuat memandangkan penerimaan pengundi DUN terbabit amat baik terhadap calon BN.
“Di kubu kuat PAS pun, pengundi menerima kedatangan jentera kita dengan baik. Ini menjadikan kempen PRK ini bersih dan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat.
Apapun BN tidak boleh leka walaupun 60 peratus pengundi sudah ditemui jentera parti. Mungkin dari luarannya tidak nampak jentera PAS, mungkin mereka bergerak secara berselindung kerana itu BN tidak boleh alpa.