Seorang perwakilan Dewan Ulama Pas me-minta ahli-ahli parti itu supaya tidak terlalu seronok dalam menjalankan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sehingga terlupa bahawa mereka adalah ahli Pas.
Wakil Dewan Ulama Pas Selangor, Izwan Badawi berkata, dalam apa keadaan sekali pun ahli-ahli Pas perlu memahami mereka berada dalam parti Islam tersebut.
"Apabila berada dalam Pas mereka perlu memahami Dewan Ulama menjadi benteng terakhir bagi memastikan mereka tidak terpesong dan mempertikaikan keputusan parti," katanya ketika membahaskan ucaptama Pemangku Ketua Dewan Ulama pas, Datuk Ahmad Yaacob dalam Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun di mana pun ahli Pas berada, mereka perlu menilai diri dan sentiasa menjaga adab berjemaah.
Sementara itu, Wakil Dewan Ulama Pas Melaka, Mihat Mahmud mengingatkan semua ahli supaya sentiasa berwaspada kerana dalam ghairah berpolitik boleh menimbulkan bidaah apatah lagi masyarakat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.
"Jadi, kita harus jaga tindakan supaya kita tidak lari daripada landasan Islam dalam usaha kita meraih sokongan dan undi masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan," katanya.
Wakil Dewan Ulama Pas Negeri Sembilan, Abdul Hadi Isa meminta supaya Pas memperkukuhkan agenda tarbiah di semua peringkat bagi memberi kefahaman yang tulen kepada ahli dan masyarakat.
"Sekiranya tarbiah kita mantap, insya-Allah kita akan beroleh kejayaan," katanya sambil menegaskan perlunya ahli taat kepada pemimpin yang dipilih dan telah diberi kepercayaan.
Mustaqim Aling yang mewakili Dewan Ulama Pas Sabah pula menggesa supaya ahli-ahli parti itu tidak sewenang-wenangnya mengkritik seseorang pimimpin secara terbuka khususnya menerusi media sosial kerana akan memberi ruang kepada musuh politik mereka mengambil kesempatan.
"Kalau nak buat teguran, pergi jumpa bersemuka dan nyatakan teguran, bukannya sesuka hati kritik dalam Twitter atau WhatsApp," katanya.