Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin menunda perlawanan Piala Malaysia pada 22 Ogos ini (Jumaat) bagi menghormati Hari Berkabung Negara berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) berkata, pihaknya sentiasa peka dengan sensitiviti sekeliling terutama melibatkan hari berkabung yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, Afandi berkata, semuanya kini hanya akan diumumkan esok selepas membuat perbincangan bersama.
"Kebiasaannya jika ada hari-hari yang diperuntukkan oleh kerajaan memang kita akan ikut sama dan semuanya hanya akan diketahui pada minggu depan.
"Sekiranya perlawanan ditangguhkan maka pasukan yang terlibat akan diberitahu dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang kesulitan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Pada Jumaat ini sebanyak empat perlawanan dijadual berlangsung melibatkan dua aksi Kumpulan A, Johor Darul Ta'zim (JDT) II menentang LionsXII dan Pahang bertemu Felda United.
Manakala dua lagi aksi Piala Malaysia melibatkan perlawanan Kumpulan C iaitu, ATM menentang Kelantan dan Pulau Pinang bertemu JDT.
Sementara itu, ditanya berhubung insiden melibatkan penyokong membakar suar pada aksi Piala Malaysia, Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Afandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan memberitahu pihaknya akan meneliti laporan perlawanan tersebut.
Malah Afandi juga memberitahu akan menilai segala aspek termasuk dakwaan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang mengesyaki insiden tersebut berunsur sabotaj.
"Semuanya masih terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut kerana saya perlu melihat laporan perlawanan terlebih dahulu.
"Saya juga percaya dalam laporan yang disediakan oleh pihak urusetia pastinya mengandungi pelbagai maklumat yang boleh membantu kami untuk siasatan nanti," kata Afandi.