Pengusaha-pengusaha bumiputera mempersoalkan tindakan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) yang masih membisu tentang permohonan mereka untuk mendapatkan ruang niaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) walaupun telah mula beroperasi sejak 2 Mei lalu.
Ini memberi kesan kepada beberapa usahawan bumiputera yang telah mendapat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tentang kebenaran masuk ke klia2 sedangkan MAHB masih membisu dan tiada sebarang surat hitam putih dikeluarkan kepada mereka yang terbabit.
Pengerusi Eksekutif Estinwira Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, perkara itu amat dikesali kerana syarikatnya yang memiliki 20 rangkaian francais kopitiam Killiney di seluruh negara belum menerima sebarang keputusan daripada MAHB sedangkan mereka sudah bersedia pada bila-bila masa termasuk dari segi konsep restoran dan kemudahan kepada pelanggan.
Katanya, menerusi makluman terbaharu dari pegawai MITI yang diterimanya semalam, MAHB masih belum membuat sebarang keputusan dan selewat-lewatnya hanya akan diketahui Julai depan.
"Sebenarnya kita dah masuk tender sejak awal lagi tetapi tidak berjaya dan kami terima keputusan MAHB. Bagaimanapun, MITI kemudiannya memberitahu bahawa mereka mempunyai peruntukan tujuh lot untuk usahawan bumiputera. Bersama usahawan lain, kami kemudiannya menyediakan kertas kerja seperti yang diminta.
"Namun sehingga kini, tiada kata putus diberikan oleh MAHB walaupun MITI telah memberi reaksi positif berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isu tentang susahnya mencari restoran Melayu di klia2 disuarakan menerusi kolum Cuit Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan pada 11 Jun lalu, walaupun lapangan terbang itu digembar-gemburkan sebagai mercu tanda baharu kebanggaan negara.
Dalam kolum itu, siasatan mendapati antara kedai-kedai berasaskan makanan dan minuman atau F&B di klia2 itu yang dianugerahkan melalui tender ialah: Oldtown White Coffee, Hometown Hainan Coffee, Gong Cha, Starbucks, Gloria Jeans, GeorgePeck Coffee, Pacific Coffee, McCafe, Austin Chase Coffee, Baskin Robbins, Kluang Cafe, Coffee Bean, San Francisco.
Hasil siasatan ringkas juga mendapati semua kedai kopi yang bukan nama kebangsaan Malaysia itu bukan milik orang Islam. Hanya satu sahaja yang boleh dikatakan dikendalikan oleh orang Melayu Islam iaitu Gloria Jeans Coffee yang dimiliki syarikat berasaskan kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PNS).
Dengan keluasan terminal kira-kira 257,000 meter persegi, klia2 dijangka mampu menampung sehingga 45 juta penumpang setahun dan menyediakan ruang seluas 32,000 meter persegi untuk lot kedai dan 6,000 ruang meletak kereta. Kemudahan klia2 juga mempunyai 60 pintu dengan 80 jambatan udara.
Ahmad Ramzi berharap supaya MAHB dapat memberi keputusan segera berkenaan perkara itu sekali gus dapat membuka peluang perniagaan buat usahawan Melayu untuk berkecimpung dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.
"Kami percaya, kami boleh lakukan jika diberi peluang ini dan akan menggunakannya sebaik-baiknya," katanya.
Menurut beliau, restoran Killiney di klia2 kelak jauh berbeza kerana mengetengahkan konsep perdana dengan hiasan dalaman yang lebih canggih dan pilihan pelbagai menu.