Persatuan Hindu Sangam Malaysia bersetuju penjualan arak dalam pesawat dihentikan kerana ajaran agama tersebut melarang penganutnya mengambil minuman keras.
Presidennya, Datuk RS Mohan Shan bagaimanapun berkata, beliau tidak menghalang MAS meneruskan hidangan arak memandangkan tiada larangan demikian dalam agama lain.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa arak dilarang untuk semua. Bagaimanapun, kita mencadangkan agar jumlah isi padu yang dihidangkan dalam pesawat dihadkan.
“Syarikat penerbangan perlu memastikan agar penumpang tidak terlebih minum sehingga mabuk. Ini kerana, ia mungkin boleh membawa keburukan kepada penumpang lain dan keadaan dalam pesawat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan untuk menghentikan pemberian arak di dalam pesawat milik MAS.
Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) berkata, arak dilarang kepada penganut Hindu kerana boleh membawa kepada kemudaratan kepada peminumnya.
“Arak boleh membawa kepada satu tahap di mana peminumannya boleh hilang kesedaran diri. Seterusnya individu tersebut mungkin akan melakukan sesuatu yang di luar kawalan.
“Oleh itu, Hindu melarang minum arak kerana mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan,” katanya.